Tuesday, November 20, 2007

'Effect' lagu dalam hidup saya


Pagi tadi waktu menunggang motorsikal ke tempat kerja saya mengelamun sambil menyanyikan sebuah lagu lama. Saya pun tidak pasti bagaimana lagu tersebut tiba-tiba terpacul keluar dari mulut saya. Ianya sebuah lagu yang cukup lama dan saya fikir lebih tua usianya dengan saya.

“Angin menderu…..dahan jatuh….menimpa batu…., kuburannn….sayang di sayang…” Itulah antaralain bait-baitnya. Tak semena-mena saya cukup syahdu mengulang beberapa rangkapnya yang masih dalam ingatan.

Memang lagu ini sebenarnya menggamit nostalgia silam saya. Sewaktu saya berusia di sekitar 7 tahun saya pernah menyanyikan lagu ini. Entah dari mana saya mendengarnya sehingga saya menghafal rentak dan beberapa rangkapnya.

“Jangan nyanyikan lah….” Kata Mak saya bila dia dengar saya mengulang-ulang rangkap-rangkapnya. Mak seperti tidak begitu selesa mendengarkan nyanyian saya. Saya tidak pasti apakah sebabnya.

Tetapi itulah patah-patah perkataan yang masih terngiang-ngiang di telinga saya yang sukar saya lupakan. Suara Mak. Selepas lebih 30 tahun Mak meninggal dunia, hanya itulah ‘bekalan’ suara yang masih saya cam. Selebihnya saya telah lupa rentak dan gaya Mak berkata-kata.

Sebenarnya lagu-lagu punyai ‘effect’ sejarahnya yang tersendiri dalam hidup saya. Umpamanya lagu yang dipopularkan oleh Biduan Dahlan Zainudin (Dari sebuah desa…berbekal gitar tua…datang ke ibu kota….dengan penuh harapan…) , saya tidak pasti tajuknya tetapi lagu itu bila diputarkan semula di corong-corong radio segera membawa saya berada di serambi rumah Wan Semerbok saya (rumah nenek saya di Negeri Sembilan). Suasananya ialah pemandangan kosong mengenangkan Mak yang baru sahaja meninggalkan kami.

Sebuah lagu yang dipopularkan pula oleh Biduanita Uji Rashid umpamanya juga menggamit kenangan duka saya. “Setelah kau pergi, hati ku gelisah….tiada tempatku bermanja…”

Pada waktu itu ayah bercadang untuk membawa Mak berubat di KL (sebetulnya saya pun tak sedar yang Mak sebenarnya sakit. Hanya bila saya turut ke KL kerana cuti sekolah dan Mak masih berubat saya nampak yang Mak seperti lelah). Beberapa hari sebelum mereka berangkat ke KL, adik saya Suriya menyanyikan lagu ini. Mak pada waktu itu seperti tidak menghiraukan nyanyian Suriya.

Tetapi selepas Mak meninggal dunia, Cik Milah (sepupu ayah) ada bercerita yang mengatakan Mak ada singgah ke rumahnya sebelum ke KL dan menangis kerana beliau sedih mendengarkan nyanyian Suriya. Rupanya Mak begitu tersentuh dengan nyanyian Suriya itu. Dan memang Mak berangkat ke KL terus tidak lagi pulang ke rumah kami di Jasin. Bila sakitnya makin berat, beliau di bawa pulang ke kampungnya di Semerbok, NS dan Mak akhirnya meninggal dunia di sana.

Ya…ada banyak lagi ‘effect’ lagu dalam sejarah hidup saya. Saya membacanya dari sudut dan dimensi yang positif. Ianya menyerap keinsafan dalam hidup saya.

InsyaAllah bersambung...