Wednesday, November 21, 2007

Basikal dan nawaitu


SAYA berjinak dengan ‘agama’ ini bermula dengan niat yang begitu sederhana. Saya masih ingat pada waktu itu rakan-rakan di kampung seperti dihantui oleh minat mengubahsuai basikal. Basikal-basikal akan di ‘togel’ kan dan di cat dengan warna kuning. Aksesori tertentu digunakan sehingga basikal ini persis sebuah motorsikal ‘scrambler’.

Manakala golongan lebih dewasa pula pada waktu itu memang ‘gila’ motorsikal. Sekelompok dengan motorsikal kapcai (kata arwah Pak Uda Md Diah – motor plastik) mereka manakala sekelompok lagi memang bergaya dengan motorsikal ‘scrambler’. Motorsikal-motorsikal ini diubahsuai dengan tambahan pelbagai aksesori tambahan dan warna yang dikira ‘sporty’.

Tetapi saya walaupun dikira dalam keluarga yang agak ‘senang’ namun tidak mempunyai basikal. Saya masih ingat bila pulang sekolah, saya selalu meminjam basikal tua Pak Cik Jalil (biras ayah saya). Basikal ni cukup besar dan saya akan naik secara ‘mencelah’ kerana ‘body’ basikal yang besar dan tinggi.

Sehinggalah budak-budak kampung mengaturkan satu ekspedisi yang saya kira cukup menarik iaitulah berbasikal ke Port Dickson. Satu pengembaraan yang cukup jauh dengan berbasikal beramai-ramai. Saya kira melibatkan di sekitar 20 peserta basikal kuning! Tetapi saya tidak dapat turut serta kerana saya tidak mempunyai basikal.

Kesan daripada peristiwa itu saya fikir membawa ke satu titik penting yang telah menjadi asas merubah hidup saya bila tak semena-mena ayah saya berbincang dengan Wan saya untuk membelikan saya sebuah basikal. Saya katakan begitu kerana telah lama bermain dalam fikiran saya bahawa kalaulah saya ada basikal saya akan gunakannya untuk kayuhan ke masjid.

Bagaimana pula minat untuk ke masjid ini muncul dalam diri saya. Sebenarnya ianya bermula dengan ‘pendedahan’ mengenai masjid (seingat saya istilah surau hampir tidak di sebut di kampung saya kerana kami hanya ada masjid. Masjid lama dan masjid baru) oleh kawan sekolah saya Karim Mohamad (sekarang seorang guru). Beliau ini selalu menyebut-nyebut mengenai masjid dan ceramah agama.

Tanpa saya sedari, saya mula memasang niat tertentu mengenai masjid. Inilah asas permulaannya.

Selepas kata putus di capai (kerana saya turut ada di waktu Wan dan ayah membincangkan mengenai urusan beli basikal untuk saya), saya dan ayah terus ke Pekan Jasin. Masih terbayang betapa gembira dan bangganya saya bila ayah bersetuju membelikan sebuah basikal model terbaru! Sebuah basikal ‘Raleigh BMX’ siri terbaru lengkap dengan ‘gear’ tangan seperti Skuter Vespa.

Maka bermulalah kayuhan saya ke masjid baru (masjid lama yang lebih hampir pada waktu itu tidak digunakan lagi oleh orang-orang kampung. Masjid itu hanya digunakan untuk solat jenazah sahaja).
Dengan basikal ini juga saya turut menyertai eskpedisi kedua budak-budak kampung. Kali ini berbasikal ke Sagil, Tangkak, Johor DT. Sagil adalah sebuah kawasan rekreasi air terjun yang cukup popular pada waktu itu. Di sekitar 20 peserta juga yang turut terlibat menjayakan ekspedisi ini.

Basikal benar-benar mengingatkan saya asal-usul nawaitu kehidupan beragama saya….terimakasih Wan dan ayah!