Tuesday, December 18, 2007

Berita Pilihan : Tuduhan ke atas Hindraf dikaji, Batu Burok diketepi : PM pilih kasih?


KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - "Dato' Seri Samy Vellu telah menyampaikan kepada saya permohonan ibu bapa pemuda seramai 31 orang agar anak mereka tidak ditahan serta dibebaskan dari tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis semasa demonstrasi Hindraf di Batu Caves tempoh hari.

"Mereka juga sudah insaf serta berjanji tidak mahu lagi ikut serta mana-mana perhimpunan Hindraf di masa akan datang kerana selama ini mereka telah terpedaya. Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan keatas mereka."

Begitulah antara petikan dan ungkapan yang dianggap sebagai 'pilih kasih' daripada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan di berita TV 15 Disember lalu.
Kenyataan Abdullah mengundang pelbagai persoalan dan pertikaian ramai pihak dan masyarakat khususnya pemerhati politik dengan pendekatan beliau dalam menangani krisis yang berlaku.

Dua perkara bersabit yang menyebabkan dibangkitkan, pertama Abdullah sendiri meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf, seolah-olah membuktikan PM sudah 'memperalat', 'memperkudakan' dan mempengaruhi sistem badan kehakiman.

Secara tidak langsung membayangkan Abdullah berkuasa sama ada mahu mengekalkan tuduhan atau membebaskan siapa sahaja dengan berselindung di sebalik kuasa eksekutiff sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib pernah menyatakan tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang.

Implikasi kedua, dalam insiden Batu Burok, Trengganu yang hampir serupa tetapi sedikit berbeza, dua mangsa keganasan dan tembakan peluru hidup Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38, dituduh cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar sedangkan tubuh mereka berdua ditembusi peluru namun terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana tidak dibenarkan ikat jamin.

Jauh sekali untuk mendengar sama sekali Perdana Menteri berkata :"Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan ke atas mereka."

Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut berkata, beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.

Kamal Amir yang menulis di Malaysia Today juga berpendapat kenyataan Abdullah (yang membela dan percaya 31 demostarn itu insaf) boleh diseret kemuka pengadilan atas tuduhan "menghina mahkamah" kerana mengeluarkan kenyataan berpihak "subjudice" sebelum mahkamah memulakan prosiding dan membuat keputusan.

"Kalau benarpun mahu memenuhi permintaan Samy Vellu yang semakin ketandusan pengaruh dari masyarakat India kenapa tidak didiamkan sahaja tanpa diumumkan kepada khalayak," katanya yang dipetik daripada blog tersebut.

Dalam pada itu, seorang penganalisa politik berpendapat, penangkapan puluhan aktivis politik dalam isu Hindraf, Himpunan Bersih dan Batu Burok disifatkan sebagai langkah mempertahankan survival politik Abdullah dan tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti yang didakwa memandangkan Abdullah sendiri 'boleh berunding' dalam mengkaji semula pertuduhan mereka.

"Tindakan itu mestilah disusuli dengan mengkaji semula ataupun membebaskan semua yang terlibat dalam perhimpunan aman Bersih dan Batu Burok juga," katanya yang bersetuju dengan sikap Abdullah yang 'boleh bertolak ansur'.

Mengulas isu sama, dalam blog Roslan SMS turut membangkitkan persoalan mengapa Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan?

"Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang terperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!," kata Roslan dalam blognya.

"Bagaimana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?," katanya

Beliau dalam blog n32.blogspot.com menganggap Abdullah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 mereka yang terbabit dalam perhimpunan Hindraf. - mr -

Thursday, December 13, 2007

Jumpa Ustaz Ibrahim & Awang Bakar

SAYA antara yang dimaklumkan lebih awal oleh pihak keselamatan bangunan tempat saya bekerja apabila latihan kebakaran bersama Bomba berlangsung pagi ini. Saya tidak tahu siapa lagi yang telah dimaklumkan lebih awal kerana semua ‘yang telah tahu’ diminta tidak menghebahkannya kepada sesiapa.

Jadi saya pun duduklah di tepi ‘parking’ lot motorsikal di sebelah Bank Islam sementera menunggu kakitangan lain keluar daripada bangunan apabila loceng amaran kebakaran dibunyikan nanti sambil membaca risalah ringkas yang dibekalkan oleh isteri saya supaya di olah semula sempena program ‘Kem Remaja Solihah’ yang beliau turut jayakan hujung minggu ini.

Tiba-tiba ada seseorang menyapa dengan memberi salam. Eh , Ustaz Ibrahim! “Buat apa tu...”, tanya beliau. Kami pun bersembang dan saling bertanya khabar selepas saya fikir begitu lama tidak bersua dengan beliau.

Saya tidaklah begitu rapat dengannya tetapi agak biasa bertembung di majlis-majlis ceramah atau surau terutama waktu saya tinggal di Selayang dulu. Saya juga pernah beberapa kali menjemput beliau dalam program ceramah tengahari di surau tempat saya bekerja dahulu.

Ustaz gedebe! kata sahabat saya Ab Rahhim. Itulah ‘trade mark’ Ustaz Ibrahim. Mungkin beliau suka guna perkataan ‘gedebe’ dalam ceramahnya maka beliau lebih dikenali sebagai ‘ustaz gedebe’.

“Ana sebenarnya tengah tunggu Akhi Awang Bakar, pasal nak serahkan satu bungkusan buku”, terang Ustaz Ibrahim. Rezeki saya lah hari ni, detik hati saya bila dengar yang Awang Bakar akan ‘turun’ sebentar lagi.

Sebab saya pun lama tak bersua dan bersembang dengan Awang Bakar walaupun beliau bekerja di bangunan sebelah sahaja dengan pejabat saya.

Hari ni saya berpeluang bersua dengan 2 orang sahabat yang giat dalam dakwah dan perjuangan, detik hati saya lagi. Aura pendakwah dan pejuang memang mendamaikan. Bahkan berbeda dengan wajah-wajah lain. Saya bila bersua sahabat-sahabat lama memang selalu ‘mencuri-curi’ menatap wajah mereka. Sukar untuk dinukilkan. Ada sesuatu di wajah itu.

Selepas beberapa ketika terdengar ‘loceng kebakaran’ dibunyikan dan sejurus kemudian kakitangan daripada bangunan tempat saya bekerja berpusu-pusu keluar mengosongkan bangunan. Ustaz Ibrahim mohon untuk beredar dan kami bertiga pun bergerak meneruskan urusan masing-masing.

Awang Bakar sempat memberikan sebahagian naskah buku tulisan Ustaz Ibrahim untuk saya edarkan di pejabat. Buku tersebut berjudul “Mustajabnya Doa Menurut Sunnah Nabi saw” . Buku ini ditulis oleh beliau sendiri, Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri.

Wednesday, December 12, 2007

Penyertaan masih dibuka...

Kem ini dianjurkan oleh Nisa' Hulu Selangor dengan kerjasama Surau Al Muhajirin, Bukit Beruntung. Klik gambar untuk maklumat lanjut.

Tuesday, December 11, 2007

First Hand Info

MALAM tadi saya dan keluarga ke Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar. Tujuan kami ke sana ialah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan penangkapan Tuan Hj Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS pada petang Ahad yang baru lalu. Ini adalah berikutan sehingga lewat petang tiada berita terkini dapat dikesan melalui internet maka saya tidak selesa untuk menunggu lebih lama lalu membawa keluarga ke Melewar bagi mendapatkan maklumat di sana.
Bila sampai di sana majlis telah pun bermula dan saya lihat Tuan Hj Mohamad Sabu juga telah ada. Ini bermakna beliau telah berjaya dibebaskan dengan ikat jamin.

Majlis ringkas itu di hebahkan lewat petang melalui harakahdaily untuk mengadakan solat hajat dan penerangan mengenai tangkapan Mohamad Sabu. Turut kelihatan dalam majlis itu ialah Ustaz Hj Ahmad Awang (Naib Presiden Pas), Dato’ Kamarudin Jaafar (Setiausaha Agong Pas), YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda), Ustaz Hj Hasan Shukri, Tn Hj Mahfoz Omar (Ketua Penerangan) dan Sdr Hj Anuar Tahir.

Walaupun tidak ramai yang hadir kerana majlis itu hanya dihebahkan di saat-saat akhir, namun turut kelihatan ialah sahabat saya Tuan Hj Ibrahim daripada Melaka! Juga kelihatan sahabat lama Sdr Mued.

Ini mengingatkan saya zaman kami bersama-sama di Selayang sekitar 10 atau 15 tahun yang lalu. Apabila ada sahaja musibah yang menimpa perjuangan atau ada berita gembira yang hendak dikongsi bersama oleh pimpinan, kami semua akan segera menuju ke Markaz Tarbiyyah di Melewar untuk mendapatkan ‘first hand info’ daripada sana. Kalau tidak ada ceramah kami akan dengar penjelasan daripada Ustaz Hj Hassan Shukri yang rumahnya bersebelahan Markaz. Itulah keprihatinan kami waktu itu.

Maklumat-maklumat terus daripada pimpinan inilah yang saya fikir menjadikan rakan-rakan seangkatan dengan kami di Selayang dahulu terus komited dalam perjuangan walaupun mungkin ramai juga yang tidak lagi di baris hadapan seperti saya.

Memang sahabat-sahabat yang rajin hadir mendengar penjelasan daripada pimpinan biasanya lebih matang bila mengemukakan hujjah dan pandangan. Bukan sahaja matang malah lebih selari dengan kehendak sebenar pimpinan. Sebab itu menurut pengalaman saya, kita akan mudah mengesan mereka yang ‘tidak minat’ ceramah ini bila berkesempatan bercakap, bersembang, berusrah atau bermesyuarat dengan mereka. Maklumat mereka ini biasanya bukan sahaja tidak matang dan tidak lengkap malah agak ‘lari’ daripada apa yang dimaksudkan oleh pimpinan. Saya ada menyimpan ‘senarai kes’ mengenai sahabat jenis ini.

Sebab itu saya menolak kalau ada penggerak jamaah berpandangan untuk meremehkan keperluan mendapatkan maklumat daripada menghadiri ceramah-ceramah umum. Bagi saya penggerak-penggerak jamaah sangat wajar melazimi ceramah-ceramah umum yang dianjurkan sama seperti mereka melazimi usrah atau mesyuarat.

Zaman kepesatan teknologi cyber sekarang ini menjadikan petugas jamaah wajar menambah info mereka dengan lebih kerap melayari http://www.harakahdaily.net/ dan http://www.tvpas.com/ sekurang-kurangnya. Itupun kalau mereka tidak mahu tercicir maklumat.

Friday, December 07, 2007

Yuran sekolah percuma!

RAKAN pejabat saya Pendi merungut mengenai bayaran-bayaran perlu sempena musim persekolahan yang akan bermula bulan depan. Dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat, belum lagi ada tanda-tanda pihak majikan akan memberikan ‘advance’ bonus seperti tahun-tahun yang lalu.

Dan menurut sumber lain, memang tahun ini sudah tidak ada lagi ‘advance’ bonus seperti amalan yang sudah-sudah. Memang perit.

Pendi yang cacat penglihatannya sejak berusia 8 tahun itu bercerita yang mana beliau beberapa hari yang lalu pergi ke sekolah anaknya untuk urusan persediaan persekolahan 2008.

Katanya beliau sempat berjumpa dengan seorang guru sekolah tersebut dan mendapat beberapa penjelasan.

Antaranya beliau telah dimaklumkan mengenai yuran dan bayaran perlu untuk anak beliau. Guru sekolah itu pulak sinis berkata tak banyak dan tak sampai seratus pun! Beliau agak terkejut, bukan ke Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri telah bentangkan dalam budget yang baru lalu bahawa yuran sekolah dihapuskan. Pendidikan kita adalah percuma! Tambah Menteri Pelajaran pulak.

Gegak gempita akhbar-akhbar utama negara membuat liputan luar biasa betapa pendidikan kita adalah percuma.

Takkkkkkkk.....kata guru tu. Yuran yang di ‘hapus’ kan tu hanyalah RM4.50 sahaja, katanya. Geleng kepala saya, kata Pendi sambil terdengar guru tu seperti ketawa kecil.

Hidup-hidup puak-puak ni tipu rakyat kan. Percuma konon, kata saya pada Pendi.

Walaupun saya turut tergelak dengar cerita Pendi, tetapi otak saya ligat mengira-ngira berapakah pulak belanja buka sekolah untuk anak saya yang 5 orang ni nanti bulan depan!

Artikel Pilihan : Tok Guru Nik Aziz prihatin bila salib besar 'hilang'!

Oleh Roslan SMS

Baru-baru ini di Dewan Rakyat Timbalan Menteri Pelajaran Noh Omar memaklumkan bahawa kerajaan tidak berhasrat menurunkan salib di sekolah-sekolah "missionary" yang diasaskan oleh pihak gereja.

Ini lanjutan rungutan yang dikemukakan oleh wakil Umno (BN) dari Parit Sulong, Syed Hood Syed Edrus, yang mahukan sekolah-sekolah seumpama ini menurunkan salib dan patung di sekolah-sekolah berkenaan serta memutuskan terus hubungan gereja dengan sekolah-sekolah ini kerana bimbangkan pengaruh dari pihak gereja antarabangsa.

Kata beliau adalah mengaibkan yang masih ada lagi sekolah-sekolah dalam sebuah negara Islam seperti kita ini yang terus dipengaruhi oleh pihak gereja.

Gesaan Syed Hood itu turut disokong oleh wakil Umno (BN) dari Sri Gading Mohammad Aziz.

Walaubagaimanapun menurut laporan yang diterima semasa Timbalan Menteri berkenaan memberikan penjelasan tersebut, kedua-dua ahli berkenaan tidak berada di dalam dewan.Dan hari ini Syed Hood, apabila didatangi pemberita, dah bagaikan nasi disiram air, lembut dan lembik. Kata beliau, isu ini dibangkitkan atas kehendak rakyat yang diwakilinya.

Beliau sekadar mahukan penjelasan dan malah berterima kasih atas sumbangan sekolah-sekolah ini terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.Cuma masalahnya Syed Hood ini dengan sengaja cuba mengalihkan perhatian masyarakat bukan Islam terhadap beliau apabila beliau berkata (sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini):PAS would play up the issue if no proper explanation was given. (PAS akan memainkan isu ini jika tidak ada penjelasan diberikan).

Lihatlah betapa jahatnya pemimpin Umno. Ketika mereka tersepit, mereka akan membabitkan orang atau pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan onar bikinan mereka. Mengapa heret PAS pula dalam isu ini?

Seingat saya PAS tidak pernah sekalipun membangkitkan berkenaan isu ini kerana percaya pada kebebasan pendidikan.Malah saya teringat baru-baru ini Pengerusi Kelab Penyokong PAS Sdr. Hu Pang Chow ada menceritakan berkenaan satu insiden yang melibatkan salah sebuah gereja tertua dan terbesar di Kota Bharu iaitu Church of Our Lady Fatima (kebetulan penulis mendapat didikan peringakt tadika pada tahun 1969 di tadika kelolaan gereja berkenaan, ketika itu ayah penulis Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan).

Kata beliau, pernah pada satu hari Tok Guru MB bertanya melalui Dato Annuar Tan (EXCO Kerajaan Negeri) kemana perginya salib besar di atas gereja berkenaan? Rupanya Tok Guru perasan yang salib di gereja berkenaan telah tiada. Kata Sdr Hu, Tok Guru mengarahkan jika salib itu diturunkan atas arahan mana-mana pihak sama ada PBT atau kerajaan negeri, maka ianya mesti dinaikkan kembali.

Setelah Sdr Hu pergi menyiasat rupanya menurut pihak gereja ianya diturunkan bagi tujuan pengubahsuaian.Ringkasnya begitulah prihatinnya kerajaan PAS terhadap rumah ibadat agama lain, jadi kenapa dalam hal ini ahli parlimen Umno ini gelabah mahu melibatkan PAS pula? Kalau dah salah tanggung sendiri, jangan capai dan gagau pihak lain lantaran kelemahan dan kesingkatan fikiran kita sendiri. Begitulah Umno!

Thursday, December 06, 2007

Ni pun nak melenting?

Adnan nafi kahwin lagi

KUANTAN 5 Dis. – ‘‘Saya difitnah berkahwin dua yang disebarkan secara meluas melalui blog sejak sebulan lalu. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab yang cuba merosakkan kerjaya politik saya.’’

Demikian penafian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika mengulas dakyah yang disebarkan menerusi Internet bahawa kononnya beliau telah berkahwin lagi.
Sehubungan itu, Adnan meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penulis blog yang menyalahgunakan Internet dan teknologi maklumat sebagai medium untuk menyebar fitnah.
“Aktiviti mereka perlu dibanteras segera kerana jika tidak dikawal ia boleh menjatuhkan kerajaan yang ada hari ini dan menyebabkan negara menjadi huru-hara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Peningkatan Profesionalisme Penceramah Program Gerak Setia Peringkat Negeri Pahang di sini semalam.
Menurutnya, penulis blog yang berselindung di sebalik kebebasan penyaluran maklumat menerusi Internet dan laman web adalah orang yang penakut kerana tidak berani menampilkan diri mereka sendiri sebagai penulis yang bertanggungjawab menyebarkan sesuatu berita.

Kata Adnan, jika tindakan tegas tidak diambil rakyat akan mempercayai berita atau fitnah yang disebarkan oleh penulis blog. Beliau bimbang ia boleh menjadi satu budaya baru penyebaran fitnah.

Selain penulis blog, Menteri Besar itu juga meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk menyebarkan fitnah kerana pihak yang menjadi sasaran tidak berpeluang untuk membela diri atau mengambil tindakan terhadap orang yang memfitnahnya.

“Laman blog dan SMS yang tidak bertanggungjawab berbahaya kepada rakyat dan negara kerana ia boleh menyebabkan keamanan dan ketenteraman negara tergugat,” katanya.

DALAM banyak-banyak berita hari ini saya tertarik dengan berita seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia ini. MB Pahang, Adnan Yaakob marah betul bila katanya ada orang yang sebar fitnah kata dia kahwin dua.

Saya heran bagaimana orang yang bertaraf MB boleh melenting tak tentu fasal hanya dengan tuduhan dia kahwin dua. Apa salahnya kahwin dua. Kan lebih rasional kalau MB itu berkata , ‘Saya ingin nafikan khabar-khabar angin yang mengatakan saya telah berkahwin lagi’.

Ini sampai habis semua di ‘sangkut’ kan untuk menyokong penafiannya. Sampai bab jatuhkan kerajaan, huru hara, gugat negara lah. Ini apa ni?

Lepas tu cabar pulak kata blog sekian-sekian yang tabur fitnah. Kalau berani tampilkan diri lah, kata Denan lagi. Tapi yang kelakar tu dia pulak tak berani sebut blog mana yang bukak cerita tu. Kalau berani sebutlah blog mana? Apa alamatnya supaya orang ramai boleh berkunjung dan baca apa yang ditulis oleh blogger tu. Tak berani!

Tu lah yang saya pernah katakan kepada seorang sahabat ‘tahap keberanian’ seorang Umno/BN. Dia boleh berleter panjang dalam suratkhabar dia. Cuba lah kalau berani kat suratkhabar orang lain atau media asing ke. Baru kita nampak betapa jahil dan rendahnya tahap pemikiran mereka ini. Ada dengar lintas langsung Al Jazeera dengan Menteri Penerangan Zainudin Maidin tempohari.

Jugak temuramah Khairy Jamaludin dan Nazri Aziz oleh Al Jazeera jugak tempohari. Kelakar kan. Tu saya kata tadi. Dengan media Malaysia dia bolehlah kelentong, media asing macamana? Tak usah media asing, dengan blogger pun mereka tak boleh pi dah.

Eih...eih...eih...kalaulah demokrasi ini berjaya di pulihkan. Memang sayonara lah untuk Umno/BN.

Tuesday, December 04, 2007

Artikel pilihan : Kebangkitan Hindraf, bukan sekadar perjuangan masyarakat India

Oleh : Herman Samsudeen

Himpunan Hindraf pada 25 November baru-baru ini adalah sebuah perhimpunan rakyat yang aman dan mereka wajar diberikan ruang dan peluang untuk bersuara. Kehadiran hampir 20 ribu kaum India dari seluruh negara dihadapan KLCC merupakan satu bukti kepada wujudnya ketidakadilan kerajaan BN terhadap kaum ini.

Hak Bersuara dan Berhimpun

Pihak Kerajaan seharusnya bersikap lebih toleran dan memberikan kebenaran untuk mereka berhimpun secara aman. Tindakan pihak polis yang mengadakan sekatan jalanraya disekitar jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur benar-benar menyusahkan rakyat. Perhimpunan Hindraf ini dijadualkan berlaku dihadapan kedutaan British, dijalan Ampang tetapi kenapa perlu jalan-jalan utama seperti Jalan Kuching, Sg. Besi, MRR2 disekat. Mengikut perlembagaan, rakyat bebas bergerak ke mana sahaja secara aman dan tindakan pihak polis ini menakutkan rakyat seolah-olah negara berada dalam keadaan darurat.

Hindraf dan pertubuhan lain yang mewakili kaum atau kumpulan-kumpulan tertentu berhak melahirkan pandangan, bantahan dan berhimpun dimana sahaja berdasarkan peruntukan perlembagaan negara yang dikongsi bersama.

PAS tolak cara agreasif dan penyelesaian demokratik lebih baik

Rata-rata pimpinan tertinggi dan ahli PAS menolak tindakan yang agreasif bagi menanggani isu-isu yang melibatkan kepentingan semua pihak. PAS selalu mengambil pendekatan yang demokratik termasuklah berdemontrasi secara aman dengan menyediakan pasukan keselamatan sendiri bagi mengawal ahli dan penyokong.

Tindakan agreasif yang selalunya dicetuskan oleh pihak Polis seperti yang berlaku dalam Himpunan Hindraf ini membuktikan bahawa rakyat yang tertekan atau diprovok mampu bertindak balas secara agreasif. Perkara sebegini dapat dielakkan jika pihak Kerajaan memberikan kerjasama dan permit sebagaimana yang berlaku di Britain dan kebanyakkan negara maju.

Dinegara-negara maju, demontrasi aman adalah sebahagian dari unsur-unsur demokrasi dan kumpulan-kumpulan rakyat dibenarkan mengadakan himpunan di jalan raya. Pihak Polis selalunya memberikan permit kepada mereka tanpa mengira mereka itu dari kumpulan pembangkang, kerajaan atau NGO. Pihak Polis akan membantu mereka mengawasi mana-mana individu atau perkumpulan yang cuba mencetuskan huru hara.

Itulah dia cara mereka mengamalkan demokrasi dan itulah yan harus diamalkan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan maksud demokrasi itu tertegak bersama suara rakyat.

Hindraf ingin kemuka 'dosa-dosa' British

Himpunan ini sebenarnya khusus bagi menghantar sebuah memorandum yang dikemukakan untuk Kerajaan British melalui wakil kedutaannya di Jalan Ampang. Memorandum ini mengandungi isu-isu yang mengkehendaki Kerajaan British bertanggungjawab sepenuhnya diatas nasib 'malang' yang menimpa kaum India yang dipaksa datang dan berkerja dinegara ini pada era kolonial.

Selepas merdeka, Inggeris meninggalkan mereka tanpa sebarang jaminan untuk meneruskan survival dibumi 'asing' ini. Mereka beranak pinak dan terpaksa melalui diskriminasi selama lebih 50 tahun ekoran dari warisan dasar pecah dan perintah yang masih berbaki di Tanah Melayu pada ketika itu.

Pihak Kerajaan BN memandang kaum India, khususnya yang bekerja sebagai buruh diladang-ladang sebagai satu kaum minoriti dan pembangunan untuk mereka masih lagi ditahap yang rendah pada masa ini. Sekolah-sekolah vernakular mereka dibiarkan membangun dengan sendiri dan hanya beberapa warga India yang prihatin sering membantu mereka untuk keluar dari bebanan kemiskinan.

Akhirnya selepas 50 tahun merdeka mereka memulai langkah perjuangan mereka dengan menyaman kerajaan Britain dengan nilai saman antara yang paling tinggi didunia iaitu RM14 Trillion!

Itulah nilai yang dituntut oleh mereka diatas apa yang mereka terpaksa lalui. Hakikatnya, memorandum hari ini hanyalah sebagai satu peringatan kepada Kerajaan British tentang 'dosa-dosa' mereka kepada kaum India yang ditinggalkan dinegara ini.

Sambutan Kerajaan BN yang luar biasa

Kita memahami matlamat Hindraf yang hadir ke Kedutaan British. Cuma kita berasa amat hairan dengan sikap dan sambutan yang ditunjukkan oleh Kerajaan BN. Ugutan dan tangkapan yang berlaku sebelum dan semasa himpunan benar-benar diluar kawalan dan bukan budaya kita untuk memperlakukan rakyat yang tidak berdosa sedemikian rupa.

Namun, delegasi Hindraf ke kedutaan British ini disambut dengan air water canon dan gas pemedih mata sejak pukul 6.30 pagi lagi. Nampaknya Kerajaan BN tidak sekadar bermain kata, mereka benar-benar menjadi 'kuli upahan' Kerajaan Britain yang takut kepada kebangkitan kaum India dinegara ini.

Penggantungan Pakistan dari Komanwel risaukan Kerajaan Malaysia?

Semasa himpunan tersebut, Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel juga sedang berlangsung di Kampala, Uganda dari 23-25 November. Dan pada hari pertama Mesyuarat tersebut, ahli-ahli mesyuarat telah berpakat untuk mengantung keahlian Pakistan kerana melanggar hak demokrasi rakyatnya. Penggantungan tersebut diumumkan sebaik sahaja Ratu Elizabeth merasmikan mesyuarat Komanwel.

13 hari sebelum itu, Kerajaan Malaysia juga telah melanggari hak-hak demokrasi rakyat yang berhimpun secara aman untuk menyerahkan Memorandum kepada YDP Agong bersama pimpinan BERSIH dan itu adalah alasan kukuh untuk perwakilan negara Komanwel menggantung keahlian Malaysia.

Laporan Al-Jazeerah semasa peristiwa 10 November masih mengamit 'umpatan' dan perhatian dari wakil negara-negara komanwel lainnya. Sememangnya, ada kalangan mereka ini telah lama memerhatikan Malaysia yang selalu berbangga-bangga dengan pelbagai pencapaian yang bombastik! termasuklah dengan isu penghantaran 'pelancong' ke angkasa lepas baru-baru ini. Malah lebih bombastik lagi bila mana Al-Jazeera mengemukakan isu 'dua demontrasi besar rakyat Malaysia dalam masa kurang dari 3 minggu!' inilah dia pencapai terkini negara ini yang harus dinilai oleh Perwakilan Komanwel.

Melihat kepada tekanan itu, kekhuatiran pengantungan dari Komanwel semakin bersarang dikepala Pak Lah, dan Himpunan anjuran Hindraf ini menjadi ruang terbaik untuk Pak Lah membuktikan kesetiaan Kerajaan BN kepada Kerajaan British yang menaungi Komanwel. Begitulah besarnya kuasa Komanwel yang masih 'dijajah' oleh British. Akhirnya, kaum India pada hari ini sekali lagi menjadi mangsa kepada kezaliman Kerajaan British dan pewaris takhta mereka iaitu Kerajaan BN.

Memorandum bertukar menjadi surat aduan kepada Kerajaan British

Ekoran dari tekanan dan juga sekatan yang diberikan oleh Kerajaan BN, memorandum yang asalnya ingin diserahkan secara aman kepada Duta British terpaksa difakskan. Begitulah dakwaan laporan media utama yang pro-BN.

Namun agak menghairankan kerana isi memorandum itu didakwa mengandungi aduan tentang Jenayah dan ketidakadilan Kerajaan BN kepada kaum India dinegara ini. Isi memorandum itu jauh sekali dengan tuntutan yang dikemukakan melalui saman mereka sebelum ini.

Rakyat Malaysia memang berasa kurang senang dengan apa yang dituntut oleh Hindraf, namun itulah yang tersiar dalam media BN.

Tuntutan mereka seharusnya dilihat sebagai suatu aduan terhadap ketidakadilan BN. Dan isu ini tidak akan timbul jika Kerajaan BN melayan dan melindungi mereka dengan adil.

Media BN turut lancar 'perang perkauman'

Media BN pula mempergunakan isu tersebut untuk melancarkan 'perang perkauman' dengan penyokong Hindraf yang akhirnya turut dikaitkan dengan pembangkang walhal kebanyakkan penyokong Hindraf adalah ahli kepada MIC-BN yang tidak puas hati dengan Kerajaan BN.

Sepatutnya Kerajaan BN dan media mereka bersikap profesional dan tidak mempromosikan isu perkauman yang dibangkitkan oleh Hindraf hingga menyebabkan rasa takut dan benci rakyat terhadap kaum India termasuklah mereka yang tidak menyertai perhimpunan itu. Rata-rata orang Melayu dan Cina negara ini mulai memandang serong terhadap orang india lantaran dari propaganda melampau media BN.

Seharusnya Pemimpin BN memanggil wakil Hindraf dan memberikan peluang untuk mereka berdialog secara terbuka dan tidak 'menyerang' mereka dalam media. BN kena ingat, 'serangan' mereka itu sebenarnya akan dilihat sebagai 'serangan' terhadap kaum India secara keseluruhannya. Ucapan Pemimpin BN juga umpama ugutan kepada kaum India dan kaum lain agar tidak melawan BN.

MIC Khianati Kaum India

MIC, sebuah parti perkauman untuk kaum India yang menganggotai BN pula sanggup mengkhianati Kaum India demi untuk mempertahankan kerusi-kerusi kepimpinan mereka dalam BN. Mereka juga telah menuduh Hindraf sebagai ejen pembangkang dan ini adalah satu tuduhan yang serius yang pernah diungkapkan oleh Samy Vellu kepada kaumnya sendiri yang selama ini taat untuk menyokong beliau.

MIC sepatutnya memimpin mereka dan tidak menikam dari belakang dengan memprovokasikan perhimpunan ini sebagai himpunan haram yang ganas. Samy, seharusnya mengambil pendekatan politik yang lebih bijak dan bertemu dengan pemimpin Hindraf dan bukannya main baling-baling batu dari jauh sambil bersembunyi dibelakang Pak Lah.

BN membakar api perkauman

Hakikat sebenar, MIC dan BN lah yang membakar api perkauman didalam benak rakyat. Selama ini mereka memerintah negara ini dengan sikap yang mementingkan diri dan membiarkan rakyat menderita. Perpecahan kaum melalui BN jelas berlaku dengan wujudnya UMNO, MCA dan MIC secara berlainan mengikut ras. Mereka juga hanya menjaga rakan-rakan yang menyokong mereka dan membiarkan rakyat biasa hidup dalam kesusahan. Pemimpin MIC dan MCA selalu membakar isu Hak Keistimewaan Orang Melayu hingga menyebabkan rakyat marhaien yang tidak tahu apa-apa bercakaran. Akhirnya pembangkang juga yang dituduh sebagai agen provokator dan ditahan dibawah ISA seperti zaman-zaman 13 Mei dan Ops Lalang.

Apa yang dilakukan oleh Hindraf ini adalah kerana sikap pemimpin BN sendiri yang telah lama menyemarakan sikap perkauman dan melayan rakyat dalam cara yang tidak adil. Kerajaan BN gagal menerangkan kepada mereka yang bukan Melayu tentang hak orang Melayu sebagai pewaris tanah yang merdeka ini. BN juga gagal memberikan keadilan kepada kaum bukan Melayu dan meninggalkan mereka jauh terkebelakang dalam aspek pembangunan.

Hak Keistimewaan Melayu Tidak Menyusahkan Kaum India dan kaum lain

Hakikatnya hak keistimewaan orang Melayu hanya memberikan hak asas kepada orang Melayu dalam memastikan tanah nenek moyang mereka dapat sama diwarisi dan dinikmati. Kehadiran kaum lain dinegara ini dengan niat membantu meningkatkan ekonomi negara disambut dengan baik dan rakyat dapat hidup muafakat sekiranya ini semua tidak menjadi pertikaian.

Untuk berhidup sama seperti orang Melayu iaitu memiliki rumah atau hartanah lain sebenarnya tiada masalah. Kaum lain cuma perlu 'mendermakan' sedikit duit mereka sebagai royalti dan bukti kerjasama serta mengenangkan pengorbanan orang Melayu yang bersedia untuk berkongsi tanah warisan nenek moyang mereka. Tanah dinegara ini begitu luas dan tidak semua tanah itu diwartakan sebagai tanah rizab Melayu.

Hak orang Melayu wajar dihormati dan tidak perlulah lagi dipertikaikan. Kaum lain berhak menuntut layanan yang adil tanpa perlu menyentuh soal Hak Istimewa Orang Melayu.

Dalam soal pendidikan, pembinaan tempat ibadat, aktiviti ekonomi dan sebagainya, haruslah diagihkan dengan adil iaitu dengan meletakan sesuatu pada tempat dan keperluannya untuk kebaikkan semua. Itulah yang gagal dilakukan oleh Kerajaan BN hingga kaum lain menjadi marah.

UMNO-BN tidak ikhlas dalam soal Hak Istimewa orang Melayu

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN jauh menyimpang dari apa yang seharusnya berlaku. Walaupun pemimpin UMNO selalu mengatakan bahawa orang Melayu berhak punyai Hak Keistimewaan tetapi itu tidak berlaku. Hanya segelintir orang Melayu sahaja yang menikmati Hak Istimewa tersebut iaitu pemimpin UMNO. Mereka diberikan tanah-tanah yang banyak yang kemudiannya dijual kepada pelabur bukan Melayu. Ramai orang Melayu terpaksa hidup atas tanah-tanah yang diklasifikasikan sebagai setinggan dan kemudiannya dihalau begitu sahaja walaupun mereka telah mendiami tanah tersebut sejak zaman awal kemerdekaan lagi. Mereka tidak diberikan geran tanah walaupun telah lama mengusahakan dan mendiami tanah tersebut.

Akhirnya terbongkarlah kisah-kisah projek UMNOPutra yang memberikan banyak keuntungan atas tiket 'Hak Istimewa Orang Melayu' kepada pemimpin BN di peringkat Cawangan, Bahagian dan Negeri. Ketua-ketua Bahagian atau kroni UMNO diberikan tanah yang banyak tanpa perlu membayar sesen pun.

Kejadian di Berembang membuktikan bahawa UMNO-BN zalimi orang Melayu bila mana tanah yang mereka duduki sejak bertahun-tahun telah diberikan kepada kroni UMNO yang langsung tiada kaitan dengan penduduk Berembang. Kesemua mereka adalah kroni Kerajaan BN. Penduduk Berembang dihalau tanpa sebarang ehsan dari Kerajaan walaupun negeri mereka dinamakan sebagai 'Selangor Darul Ehsan'.

Islam menekankan agar semua rakyat diberi layanan yang adil dan bersatu hati untuk negara

Didalam pemerintahan Kerajaan BA yang diterajui oleh PAS di Kelantan, Islam yang menjadi panduan pemerintahan telah mengariskan suatu peruntukkan khas yang mewajibkan setiap dasar-dasar Kerajaan Negeri mengutamakan soal layanan yang adil dan kebajikan untuk semua rakyat.

Kaum-kaum bukan Melayu juga berhak untuk memiliki hartanah dan juga berniaga secara adil. Panduan cukai dan juga bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat termasuklah bagi kebebasan mewujudkan rumah-rumah Ibadat digazetkan bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa. Layanan sama adil untuk semua pihak bermuafakat dan memajukan Kelantan sentiasa diutamakan oleh Kerajaan BA.

Selain itu, pendidikan untuk rakyat menjadi keutamaan dan kaum Melayu, India dan Cina bebas menubuhkan sekolah-sekolah yang menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar. Malah bantuan pendidikan turut diberikan oleh Kerajaan Negeri khususnya bagi memastikan rakyat dapat terdidik untuk menjadi Insan yang cemerlang tanpa mengira latar budaya dan agama.

Dalam masa yang sama, erti kecintaan dan satu hati antara semua kaum dipupuk melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan. BA tidak melihat kewujudan sekolah vernakular sebagai satu pemecahan pendidikan mengikut kaum kerana kita telah bersedia membawa rakyat ke arah suatu kelompok yang sama dialam universiti dan sosialisasi kemasyarakatan yang lebih terbuka. Kita tidak mahu me'Melayu'kan kaum India atau Cina. Biarlah mereka dengan budaya dan cara hidup mereka. Yang baik kita kongsikan dan yang tidak baik kita bersama hapuskan. Hormat menghormati, itulah dia prinsip muafakat yang sentiasa diterapkan.

Oleh itu, kita menyeru kepada masyarakat India, cina dan kaum-kaum lain dinegara ini untuk bersama-sama dengan Barisan Alternatif bagi membawa perubahan kepada Dinasti Diktatorian yang ada kepada sebuah Kerajaan Rakyat. Kita harus bangkit bersama atas nama bangsa Malaysia yang bernaung dibawah 'lindungan bulan-bulan BA' untuk memastikan semua kaum dan agama dinegara ini menikmati layanan sama adil dan saksama.

Hindraf, bukan sekadar perjuangan masyarakat India

Kita juga harus melihat bahawa apa yang Hindraf lakukan ini bukannya sekadar perjuangan masyarakat India sahaja. Ianya harus dinilaikan dan ditamsilkan sebagai suatu cabaran bagi perubahan minda seluruh warga rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Perjuangan Hindraf seharusnya membuka mata kita untuk melihat kembali sejarah dan perjuangan nenek moyang kita dalam genangan darah dan air mata mereka.

Kita seharusnya malu untuk berjalan diatas tanah-tanah yang suatu ketika dulu 'dibanjiri' oleh darah-darah penentang penjajah yang keramatnya membawa kita menikmati hidup yang lebih baik pada hari ini. Kesenangan yang dinikmati kita membuatkan kita lupa pada 'dosa-dosa' penjajahan British yang telah membunuh Tok Janggut, Rentap, Mat Saleh, Rosli Dhobi, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi.

Sebagai pewaris, kita harus bangkit menuntut sebuah gantirugi dan bukannya sekadar laungan Kemerdekaan atau watikah merdeka yang dicalit pada Perlembagaan atas nama Lord Reid iaitu sebuah nama agung dari kaum penjajah yang masih kekal dalam sejarah negara.

Tuntutan gantirugi hak semua

Hakikatnya kita juga sama-sama berhak menuntut gantirugi diatas 'rompakan', pembunuhan dan penjajahan yang dilakukan oleh Kerajaan British semasa era kolonial dahulu. Isu penindasan kolonialisme bukan isu masyarakat India sahaja, ia juga isu bagi semua bangsa dinegara ini yang dahulunya terpaksa melukut ditepian gantang yang di'rompak' oleh British. Ini tanah orang Melayu! kami terima semua bangsa yang hadir ditanah ini sebagai teman dan jiran, tapi kita menolak 'perhambaan' kolonialis yang menyebabkan kita menjadi susah dan menderita sejak ratusan tahun yang lalu.

Kesimpulannya

Hindraf sekadar memulai sebuah langkah untuk membuka mata emprialis British dan seharusnya langkah ini bersambung dengan kebersamaan kita semua. Ini bukan isu perkauman, ianya harus diangkat sebagai soal hak dan kemanusian. Setiap kita punyai soladariti dan stigma pragmatik yang harus diserlahkan. Maruah dan kemerdekaan kita tidak bermakna kiranya kita membiarkan 'residen' British iaitu BN masih lagi memerintah negara. Kita harus 'menghalau' mereka dari tampuk pemerintahan negara secara demokratik dan mengembalikan semangat demokrasi untuk rakyat kepada rakyat!