Thursday, December 13, 2007

Jumpa Ustaz Ibrahim & Awang Bakar

SAYA antara yang dimaklumkan lebih awal oleh pihak keselamatan bangunan tempat saya bekerja apabila latihan kebakaran bersama Bomba berlangsung pagi ini. Saya tidak tahu siapa lagi yang telah dimaklumkan lebih awal kerana semua ‘yang telah tahu’ diminta tidak menghebahkannya kepada sesiapa.

Jadi saya pun duduklah di tepi ‘parking’ lot motorsikal di sebelah Bank Islam sementera menunggu kakitangan lain keluar daripada bangunan apabila loceng amaran kebakaran dibunyikan nanti sambil membaca risalah ringkas yang dibekalkan oleh isteri saya supaya di olah semula sempena program ‘Kem Remaja Solihah’ yang beliau turut jayakan hujung minggu ini.

Tiba-tiba ada seseorang menyapa dengan memberi salam. Eh , Ustaz Ibrahim! “Buat apa tu...”, tanya beliau. Kami pun bersembang dan saling bertanya khabar selepas saya fikir begitu lama tidak bersua dengan beliau.

Saya tidaklah begitu rapat dengannya tetapi agak biasa bertembung di majlis-majlis ceramah atau surau terutama waktu saya tinggal di Selayang dulu. Saya juga pernah beberapa kali menjemput beliau dalam program ceramah tengahari di surau tempat saya bekerja dahulu.

Ustaz gedebe! kata sahabat saya Ab Rahhim. Itulah ‘trade mark’ Ustaz Ibrahim. Mungkin beliau suka guna perkataan ‘gedebe’ dalam ceramahnya maka beliau lebih dikenali sebagai ‘ustaz gedebe’.

“Ana sebenarnya tengah tunggu Akhi Awang Bakar, pasal nak serahkan satu bungkusan buku”, terang Ustaz Ibrahim. Rezeki saya lah hari ni, detik hati saya bila dengar yang Awang Bakar akan ‘turun’ sebentar lagi.

Sebab saya pun lama tak bersua dan bersembang dengan Awang Bakar walaupun beliau bekerja di bangunan sebelah sahaja dengan pejabat saya.

Hari ni saya berpeluang bersua dengan 2 orang sahabat yang giat dalam dakwah dan perjuangan, detik hati saya lagi. Aura pendakwah dan pejuang memang mendamaikan. Bahkan berbeda dengan wajah-wajah lain. Saya bila bersua sahabat-sahabat lama memang selalu ‘mencuri-curi’ menatap wajah mereka. Sukar untuk dinukilkan. Ada sesuatu di wajah itu.

Selepas beberapa ketika terdengar ‘loceng kebakaran’ dibunyikan dan sejurus kemudian kakitangan daripada bangunan tempat saya bekerja berpusu-pusu keluar mengosongkan bangunan. Ustaz Ibrahim mohon untuk beredar dan kami bertiga pun bergerak meneruskan urusan masing-masing.

Awang Bakar sempat memberikan sebahagian naskah buku tulisan Ustaz Ibrahim untuk saya edarkan di pejabat. Buku tersebut berjudul “Mustajabnya Doa Menurut Sunnah Nabi saw” . Buku ini ditulis oleh beliau sendiri, Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri.