Tuesday, December 11, 2007

First Hand Info

MALAM tadi saya dan keluarga ke Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar. Tujuan kami ke sana ialah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan penangkapan Tuan Hj Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS pada petang Ahad yang baru lalu. Ini adalah berikutan sehingga lewat petang tiada berita terkini dapat dikesan melalui internet maka saya tidak selesa untuk menunggu lebih lama lalu membawa keluarga ke Melewar bagi mendapatkan maklumat di sana.
Bila sampai di sana majlis telah pun bermula dan saya lihat Tuan Hj Mohamad Sabu juga telah ada. Ini bermakna beliau telah berjaya dibebaskan dengan ikat jamin.

Majlis ringkas itu di hebahkan lewat petang melalui harakahdaily untuk mengadakan solat hajat dan penerangan mengenai tangkapan Mohamad Sabu. Turut kelihatan dalam majlis itu ialah Ustaz Hj Ahmad Awang (Naib Presiden Pas), Dato’ Kamarudin Jaafar (Setiausaha Agong Pas), YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda), Ustaz Hj Hasan Shukri, Tn Hj Mahfoz Omar (Ketua Penerangan) dan Sdr Hj Anuar Tahir.

Walaupun tidak ramai yang hadir kerana majlis itu hanya dihebahkan di saat-saat akhir, namun turut kelihatan ialah sahabat saya Tuan Hj Ibrahim daripada Melaka! Juga kelihatan sahabat lama Sdr Mued.

Ini mengingatkan saya zaman kami bersama-sama di Selayang sekitar 10 atau 15 tahun yang lalu. Apabila ada sahaja musibah yang menimpa perjuangan atau ada berita gembira yang hendak dikongsi bersama oleh pimpinan, kami semua akan segera menuju ke Markaz Tarbiyyah di Melewar untuk mendapatkan ‘first hand info’ daripada sana. Kalau tidak ada ceramah kami akan dengar penjelasan daripada Ustaz Hj Hassan Shukri yang rumahnya bersebelahan Markaz. Itulah keprihatinan kami waktu itu.

Maklumat-maklumat terus daripada pimpinan inilah yang saya fikir menjadikan rakan-rakan seangkatan dengan kami di Selayang dahulu terus komited dalam perjuangan walaupun mungkin ramai juga yang tidak lagi di baris hadapan seperti saya.

Memang sahabat-sahabat yang rajin hadir mendengar penjelasan daripada pimpinan biasanya lebih matang bila mengemukakan hujjah dan pandangan. Bukan sahaja matang malah lebih selari dengan kehendak sebenar pimpinan. Sebab itu menurut pengalaman saya, kita akan mudah mengesan mereka yang ‘tidak minat’ ceramah ini bila berkesempatan bercakap, bersembang, berusrah atau bermesyuarat dengan mereka. Maklumat mereka ini biasanya bukan sahaja tidak matang dan tidak lengkap malah agak ‘lari’ daripada apa yang dimaksudkan oleh pimpinan. Saya ada menyimpan ‘senarai kes’ mengenai sahabat jenis ini.

Sebab itu saya menolak kalau ada penggerak jamaah berpandangan untuk meremehkan keperluan mendapatkan maklumat daripada menghadiri ceramah-ceramah umum. Bagi saya penggerak-penggerak jamaah sangat wajar melazimi ceramah-ceramah umum yang dianjurkan sama seperti mereka melazimi usrah atau mesyuarat.

Zaman kepesatan teknologi cyber sekarang ini menjadikan petugas jamaah wajar menambah info mereka dengan lebih kerap melayari http://www.harakahdaily.net/ dan http://www.tvpas.com/ sekurang-kurangnya. Itupun kalau mereka tidak mahu tercicir maklumat.