Tuesday, November 20, 2007

Artikel pilihan : Bukan soal restu Agong tapi perubahan perjalanan pilihan raya


Oleh: Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras

Teras mengesa agar pihak berkuasa tidak terlalu mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong merestui atau tidak perhimpunan Bersih, kerana yang lebih penting,apakah aduan rakyat supaya diadakan perubahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses perjalanan pilihan raya dipertimbangkan oleh baginda.Untuk terus mempersoalkan perhimpunan itu haram atau tidak, bukanlah perkara pokok.

Rakyat telah turun untuk menyatakan sikap dan merayu agar beberapa perubahan dilakukan untuk mengujudkan pilihanraya yang adil dan bersih.Maka inilah yang seharusnya diberi tumpuan. Teras berpendapat bahawa pilihan raya terlalu mahal untuk dilaksanakan secara pincang kerana ia melibatkan soal masa depan negara. Apakah nasib yang akan dihadapi oleh rakyat itu boleh dijamin dengan bersikap tidak peduli kepada proses pilihan raya yang dicemari oleh penipuan dan salah guna kuasa?

Oleh yang demikian adalah lebih utama tumpuan diberi kepada bagaimana tuntutan rakyat itu perlu dipertimbangkan dan bukan kepada soal perhimpunan. Pendirian rakyat itu perlu benar-benar diberi perhatian yang serius kerana pilihan raya yang akan datang boleh dianggap tidak bermakna ketika mana penyelewengan dibiarkan berlaku. Teras mengesa agar hak rakyat untuk mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong tidak dipersoal.

SPR dilantik oleh baginda, maka ketika rakyat melihat adanya kepincangan maka adalah sangat wajar untuk rakyat mengadu kepada Seri Paduka. Soalnya, hasrat yang hendak ditunjukkan oleh rakyat bukanlah suatu pemberontakan tetapi adalah sikap peduli dan bertangungjawab rakyat terhadap politik dan kepimpinan negara. Walaupun ternyata pihak kerajaan tidak senang dengan tindakan rakyat namun kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil harus dilihat secara sihat dan bukan ditafsir secara negatif.