Friday, February 17, 2006

Bank Industri tinggal kenangan...


Hari ini merupakan hari yang saya kira bersejarah kerana secara rasminya saya telah diserap ke Kumpulan Bank Pembangunan. Walaupun proses penggabungan ini telah bermula sejak lebih 3 bulan yang lalu tetapi hari inilah saya (dan kawan-kawan se jabatan) mula berpindah ke Menara SME.

SME Bank ialah anak syarikat kepada Kumpulan Bank Pembangunan. Sekali lagi walaupun saya diserap ke Bank Pembangunan tetapi jabatan saya (IT Group) diletakkan di Menara SME bukan di Menara Bank Pembangunan.

Apa pun kerjaya saya di sini bermula di Bank Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad pada tahun 1988. Sebelumnya saya bekerja sebagai buruh kasar di FRIM, Kepong. Bila ada masa nanti saya akan catatkan pengalaman saya waktu tu.

Setahun atau dua tahun kemudiannya BKPMB bertukar nama kepada Bank Industri Malaysia Berhad yang kemudiannya meneguhkan kedudukannya sebagai Kumpulan Bank Industri. Sebenarnya banyak yang saya pelajari sepanjang saya bersama Kumpulan Bank Industri. Daripada seorang yang 'buta' komputer saya sekarang boleh lah di kira celik sikit komputer. Bermula sebagai seorang kerani, saya meningkat menjadi seorang Eksekutif.

Dulu saya datang ke KL ni hanya bawa sebuah beg pakaian dan sebuah Al-Quran, kini Alhamdulillah, saya telah mempunyai sebuah keluarga yang bahagia, sebuah rumah, sebuah kereta dan sebuah motorsikal. Semuanya berjalan begitu pantas. Apatah lagi cara berfikir saya pun dikira sudah semakin matang.

Saya cukup bersyukur kehadzrat Allah swt yang telah memberikan nikmat ini semua. Bila mengingat 'langkah-langkah' saya ini, sukar untuk saya tidak mencatat nama En Mohd Salleh Ghazali (sekarang Datuk) yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk bersama-sama menjayakan misi dan visi Kumpulan Bank Industri.

Seperkara lagi yang sukar untuk dipisahkan juga ialah penglibatan aktif saya dengan Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam Bank-Bank Kuala Lumpur (PERKIB) yang cukup bermakna dalam hidup saya. InsyaAllah pada waktu yang lain saya akan bercerita mengenainya.

Kumpulan Bank Industri telah berakhir dan tinggal dalam lipatan sejarah....semuanya telah diserap ke Kumpulan Bank Pembangunan. Nama Bank Industri itu pun telah ditukar menjadi SME Bank (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana).