Friday, February 17, 2006

Teringatkan Mak


Mak….Uan sentiasa doakan Mak berbahagia di sana. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kesejahteraan kepada Mak kerana menggantikan keperitan yang Mak rasai untuk meninggalkan kami dulu sebagai menyahut seruan kembali kepadaNya disaat kami masih kecil lagi.

Hari ini selepas mempunyai anak-anak dan keluarga Uan dapat rasakan betapa peritnya apabila berjauhan dengan mereka. Apatah lagi perpisahan yang Mak telah lalui … berangkat pergi meninggalkan anak-anak dan suami tersayang ….satu kepergian yang tak akan kembali lagi.

Mak,
Sedar-sedar sudah 30 tahun Mak pergi meninggalkan kami. Uan pun sudah berusia 38 tahun sekarang ini. Anak manja kesayangan Mak….Suriya telah pun berusia 37 tahun. Uan masih ingat waktu Mak pergi dulu, Uan berusia 9 tahun manakala Suriya 8 tahun.

Walaupun banyak peristiwa bersama Mak dulu telah pun luput daripada ingatan Uan, tetapi masih juga berbaki beberapa babak yang menjadi penawar luka Uan dikala sunyi.

Slot 1
Pagi-pagi lagi kita bersiap-siap untuk ke pasar Jasin. Mak akan bersiap-siap dan Uan biasanya mengenakan baju singlet dan seluar pendik yang ayah tempah khas di kedai Dak Choi. Itulah pakaian yang selesa bagi Uan masa tu. Mak memang cantik, manis dan bergaya.

Bila kami lalu di hadapan bangunan dua tingkat syarikat tempat ayah bekerja, biasanya ayah akan menyuakan muka sambil tersenyum daripada tingkap tingkat atas.

Sampai di pasar, mak akan membeli ikan-ikan yang besar sahaja. Mak ada kata Wan Jasin tak suka ikan bersaiz kecil macam ikan kembong sebab itu semua adalah makanan orang dalam lokap! Ikan-ikan seperti ikan parang, tenggiri, terubuk dan juga daging lembu menjadi pilihan utama Mak masa tu.

Ada satu lagi jenis ikan yang biasa Mak beli…..ikan sembilang sawah. Hanya ada seorang yang masih Uan ingat tempat Mak selalu beli ikan jenis ini. Pak Cik Dol….atau Dak Dol.

Bila keluar daripada pasar, Mak tidak lupa membeli ‘kuih pasar’ atau putu piring di hentian bas Jasin. Putu Piring adalah kuih yang sangat digemari oleh Wan Jasin. ‘Kuih Pasar’ ini sebenarnya ialah ‘kuih apam balik’, tapi entah kenapa mak panggilnya ‘kuih pasar’.

Dalam perjalanan pulang daripada pasar, biasanya Mak akan singgah di rumah Wan Peah…adik Wan Jasin. Mak akan bersembang dengan Busu Cenet dan Cik Milah. Kadang-kadang tu Mak singgah juga di rumah Mak Lang Wajar. Ada-ada sahaja sembang Mak.

Sampai di rumah Mak akan mula memasak dan Uan bersedia untuk ke sekolah…..Uan sekolah petang.

Slot 2
Mak! Uan pergi…..Ayah! Uan pergi…Wan! Uan pergi…..itulah jeritan Uan dan Suriya bila kami mula melangkah untuk pergi sekolah. Ayah biasanya akan balik ke rumah untuk makan tengahari kerana pejabatnya tidak jauh daripada rumah.

Uan akan singgah di rumah Hj Bidah (tak tau kenapa orang tak panggilnya Hjh Bidah) kerana cucunya Munawir satu kelas dengan Uan. Kami pergi sekolah bersama-sama. Selain melalui kawasan ladang getah, kami juga terpaksa mendaki bukit yang agak curam sebelum masuk ke pintu belakang kawasan sekolah di tepi padang.

Hari itu, sedang Uan bermain-main dengan kawan-kawan di tapak perhimpunan di bawah sepohon pokok besar di padang sekolah, tiba-tiba Mak memanggil sambil tersenyum di tepi pagar sekolah. Mak membawakan botol air kopi susu panas yang Uan tertinggal masa ke sekolah tadi. Masih ternampak lagi senyum Mak masa tu.


AYAH kahwin lagi…

Mak,
Nanti Uan akan bercerita lagi slot-slot yang masih segar dalam ingatan. Selepas Mak meninggal, kami betul-betul kesunyian dan rindu sangat dengan Mak. Tapi mujurlah ada ayah yang tersangat sayangkan kami.

Selepas sekitar dua tahun ayah kahwin lagi. Uan sedih sangat Mak, bila ayah pilih untuk kahwin lagi. Ini bermakna kasih ayah akan terbahagi. Uan ada dengar cerita yang kata ayah ikut nasihat adik beradiknya terutamanya Mak Itam atas alasan Uan dan Suriya perlukan kasih sayang seorang ibu dan Wan Jasin yang sudah terlalu tua untuk menguruskan keluarga.


Apa yang Uan takutkan akhirnya berlaku juga. Tak lama selepas ayah kahwin, Pak Itam Jaafar (waktu tu baru dipilih menjadi ADUN, Bera, Pahang) telah mendapatkan satu peluang pekerjaan lebih baik kepada ayah di Kuala Lumpur. Ayah mengambil peluang ini dan membawa isteri barunya bersama tinggal di rumah baru Pak Itam dan Mak Itam di Hulu Kelang. Tinggallah Uan dan Suriya bersama Wan Jasin. Sungguh sedih dan peritnya bila balik sekolah tidak ada lagi senyum dan gurau senda ayah. Tapi mujurlah Wan Jasin sangat luarbiasa kasih sayangnya terhadap kami.

Uan masih ingat kalau dulu Mak setiap pagi ke pasar membeli lauk pauk. Tapi sekarang kami menunggu Dak Bak, Mak pun kenal dia kan…. seorang berbangsa Cina yang menjaja ikan yang saban pagi lalu depan rumah kita. Kadang-kadang Uan akan ke pasar sendiri membeli apa-apa yang patut. Wan Jasin selalu tidak tinggal bercerita dengan sesiapa sahaja mengenai kisah ini. Katanya dengan bangga sekali bercampur sedih, menceritakan yang Uan sudah pandai membeli ikan dan sayur di pasar dan membantu kerja-kerja di dapur.

Mana tidaknya selepas pulang daripada pasar, Uan akan membantu Wan Jasin membelah kelapa dan memarutnya sekali. Masih ternampak-nampak lagi suasana tu.

KELUARGA Kak Ipot pulang ke Jasin…

Mak,
Lebih memeritkan lagi bila satu lagi perubahan dilakukan oleh Ayah, yang Uan fikir selepas berbincang dengan Mak Itam. Iaitu membawa balik Kak Ipot dan keluarganya pulang ke Jasin untuk menjaga Wan Jasin (termasuk kami). Rasionalnya ialah Wan Jasin sudah uzur. Lagi pun Kak Ipot dan keluarganya menyewa di Segamat. Eloklah pulang sahaja ke Jasin dan tinggal bersama Wan Jasin.

Kesannya Uan dan Suriya terpaksa tinggal sebumbung dengan satu lagi keluarga yang kami memang tidak biasa pantang larangnya. Pergerakan tidak lagi sebebas dulu. Semacam ada peraturan baru yang diperkenalkan. Tapi seperti yang Uan katakan tadi, mujurlah kami ada Wan Jasin yang sentiasa ‘melindungi’ kami.


RINDUkan ayah…

Setiap hari Uan sangat rindukan ayah. Uan tak dapat bayangkan bagaimana kerinduan kepada ayah yang dialami oleh Suriya. Dia anak manja. Sampai saat ini bila Uan ternampak wajah Suriya ….hati Uan selalu berdoa semoga Allah swt menggantikan keperitan, kesukaran dan kerinduannya dulu dengan tambahan taufik dan hidayah daripadaNya. Itulah sebaik-baik gantian.

Entah berapa bulan sekali akan ada berita mengatakan ayah akan pulang bercuti ke kampung. Uan tahu ayah sekarang sudah sibuk betul terutama bila menerima kelahiran Sahrul, ditambah lagi masa yang perlu diperuntukan untuk pulang ke rumah mertuanya yang baru di Perak sana. Namun apabila berita kepulangan seperti itu sampai kepengetahuan Uan, hari terasa begitu lambat kerana tidak sabar-sabar untuk menatap wajah ayah.

Bila ayah sampai ke kampung….Allah jualah yang tahu betapa girangnya hati dan terubatnya rindu dendam. Tapi ayah bukan boleh lama di kampung. 1,2 atau 3 hari terpaksa pulang semula ke KL.

Bagaimanapun Uan dapat rasakan dari raut wajah ayah ada kasih sayang tanpa batas terhadap Uan dan Suriya. Tapi keadaan memaksa kami berjauhan. Ayah sangat baik terhadap kami Mak, walaupun selepas mak tiada. Pada rautnya terpancar rasa serba salahnya terhadap keadaan kami.

PELAJARAN terganggu…

Selepas Mak pergi, pelajaran Uan banyak terganggu. Peperiksaan terdekat selepas Mak pergi ialah Peperiksaan Penilaian darjah 5. Uan cuma berjaya mencapai keputusan 2A, 2B, 1C.
Bila masuk Tingkata 1, Uan mulakan langkah baru. Uan cuba merebut perhatian ayah yang waktu itu telah berkahwin lain dan tinggal di KL. Mak tahu tak pencapaian Uan dalam peperiksaan SRP selepas itu? Uan berjaya mencatat keputusan 13 Agregate yang dikira pencapaian antara yang terbaik pada masa itu.

Waktu ayah pulang ke kampung, Uan cukup puas bila melihat wajah bangga ayah. Bagaimanapun tidak ada sesiapa yang mengatur langkah seterusnya untuk Uan seperti permohonan ke sekolah yang lebih baik. Ayah yang tinggal di KL ‘tidak sempat’ untuk menguruskan perkara ini.

Akhirnya Uan bersekolah di sekolah yang sama. Tidak ada motivasi lagi. Inilah titik permulaan kemerosotan Uan dalam pelajaran Mak. Apa pun Uan tidak menyalahkan ayah, semuanya kelemahan Uan sendiri dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan. Ayah telah melakukan yang terbaik.

KEMANA selepas ini….
Uan akan bercerita lagi dalam warkah yang lain…..Al-Fatihah untuk Mak.
Tulisan ini bertarikh:
8hb RabiulAkhir 1426H / 17hb Mei 2005