Tuesday, November 27, 2007

Pesan Ayah


Semalam saya pulang ke Jasin untuk menunaikan sebahagian pesan ayah lama dulu supaya mengembalikan tanah berkenaan yang ditulis sebagai namanya kepada kakak dan adiknya. Walaupun pesan tersebut nampak ringkas tetapi untuk menunaikannya bukan sesuatu yang mudah. Prosesnya cukup panjang, seingat saya ianya bermula daripada saya mula menamatkan persekolahan lagi di sekitar tahun 1985.

Saya masih ingat bagaimana saya turun naik pejabat tanah. Tidak cukup dengan pejabat tanah di Jasin saya menyusuli fail berkenaan sehinggalah ke Pejabat Tanah Melaka Tengah. Entah berapa kali. Dalam keadaan saya tidak mempunyai kenderaan sendiri dan bekerja pula di KL menjadikan tugasan ini begitu sulit dan melelahkan. Saya pula bukan juga dari jenis yang suka minta tolong atau menumpang sesiapa. Orang yang biasa dengan Bandar Jasin dan Melaka akan tahulah bagaimana saya berjalan kaki dari kampung ke Pejabat Tanah Jasin atau ke Majlis Daerah Jasin, turun naik bas ke Bandar Melaka mencari jalan keluar terhadap masalah tanah ini yang sebahagian besarnya kabur dan asing bagi saya. Istilah-istilah yang digunakan oleh pegawai dan kerani pejabat tanah cukup mengelirukan bagi saya. Itu tidak dicampur lagi dengan borang-borang yang memeningkan kepala. Semua ini menjadikan kes ini seperti berulang-ulang di tempat yang sama untuk beberapa tahun!

Diluar sana pula, sampai ke telinga saya pelbagai andaian dan sesekali tohmah terhadap saya. Bila lagi tanah kami nak diserahkan oleh Safuan! Seperti meletakkan ‘kesalahan’ kepada saya tanpa mengetahui punca dan sejarah kemelut ini. Saya cukup tertekan dengan suasana ini. Tetapi saya bukanlah jenis orang yang suka timbulkan pertentangan. Saya mengambil sikap berdiam diri sahaja. Bagi saya untuk apa saya menjawab atau berdebat kerana sudah pasti ianya tidak akan ada kesudahannya selagi ‘tugasan’ saya tidak disempurnakan. Biarlah apa yang hendak dikata.

Dan alhamdulillah selepas segala ‘semak samun’ , ‘hutan belukar’ habis di ‘tebang’, akhirnya pada hari semalam pemindahan milik tanah berjalan dengan begitu lancar dan selesa. Memang seronok berjalan di jalan yang telah diratakan.

Apa pun penghargaan kepada semua adik-adik saya Suriya, Sahrul, Sahril, Sabarudin dan Mak Chik saya yang dengan sukacita dan rela melepaskan tanah yang telah termaktub nama-nama mereka di gerannya untuk diserahkan kepada orang lain walaupun tidak ada apa-apa surat hitam putih mengenainya.

‘Appreciate’ saya juga kepada Kak Ipot yang berterusan memberikan sokongan dan pandangan. Tidak lupa juga kepada sahabat saya Ab Rahhim yang telah ‘membuka’ penemuan-penemuan baru sehingga menjadikan kemelut ini mula dirungkai dengan lebih tersusun.

Ya. Walaupun masih ada sebahagian lagi pesan ayah yang belum ditunaikan, tetapi hari semalam merupakan titik permulaan yang begitu bermakna dalam hidup saya. Saya tidak kisah kalau oranglain tidak ‘appreciate’ usaha saya dan adik-adik ini, tetapi saya fikir kami puas kerana satu daripada pesan ayah berjaya kami tunaikan.

Al Fatihah untuk ayah.