Wednesday, April 12, 2006

Selamat berangkat Pak Ngah...



ISNIN, 11hb Rabiul Awwal 1427H/ 10hb April 2006M.

Petang tu saya terima pesan daripada Pendi supaya talipon semula isteri di rumah. Saya jadi risau, jarang isteri saya tinggalkan pesan kalau bukan perkara yang penting. Dengan penuh debaran saya menalipon ke rumah. Amir, anak ke-3 saya mengangkat talipon dan tanpa apa-apa 'muqaddimah' terus 'menyerbu', Abah! Pak Ngah dah meninggal. Selepas dapatkan beberapa info penting daripada Amir, saya meletakkan gagang talipon....perasaan sedih menyelinap dalam diri.

Pak Ngah ialah biras saya. Menurut ceritanya beliau hilang penglihatan sejak berusia 8 tahun lagi. Beliau bernikah dengan kakak ipar saya seorang janda lebih kurang 15 tahun yang lalu. Usianya disaat menghembuskan nafas yang akhir di sekitar 80 tahun. Pondoknya tidak jauh daripada pondok Mak Mertua saya dan hanya lebih kurang 10 langkah ke tangga madrasah.

Selepas kakak ipar saya meninggal dunia lebih 3 tahun yang lalu, beliau kembali bersendirian di pondoknya. Bila tiba waktu makan tengahari atau malam, beliau akan bertandang ke rumah Mak Mertua saya untuk makan. Setiap waktu solat beliau akan berjamaah di madrasah.


'Wan, ni Pak Ngah nak baca Quran, Wan tolong semak betul tak', itulah rutinnya bila dia tahu saya pulang ke kampung. Saya akan menunggunya hingga habis 1 juzuk menghafaz Al-Quran, barulah boleh bergerak ke mana-mana. Tapi kadang-kadang saya pun 'hilang' begitu sahaja bila ada 'kesempatan'. Sedih saya bila ingat balik. Saya pun sebenarnya hairan macamana dia seorang yang buta boleh menghafaz begitu banyak ayat-ayat Al-Quran. Dia menghafalnya hanya melalui pendengaran!

Bila saya bawa dia ke kubur untuk menziarahi kubur arwah Bapa Mertua saya dan isterinya (kakak ipar saya), beliau akan membaca Yaa-Siin dan banyak lagi surah-surah sampingan menjadikan ziarah tersebut begitu lama. Beliau tidak 'mencangkung' seperti saya di kubur....beliau hanya berdiri seperti tiang yang tercacak lurus sehinggalah habis bacaannya.

Puasanya cukup hebat! Boleh dikatakan hidupnya penuh dengan berpuasa. Isnin, Khamis jangan cakaplah.....puasa 3 bulan berturut-berturut daripada Rejab, Syaaban & Ramadhan menjadi wajib baginya. Beberapa bulan yang lepas, Mak Mertua saya bercerita, Pak Ngah di bawa ke hospital oleh 'orang-orang pondok' kerana kesihatannya agak teruk. Waktu tu beliau sedang berpuasa samada dalam bulan Rejab atau Syaaban.

Bila sampai di hospital, doktor meminta beliau 'berbuka'. Beliau enggan. Lalu doktor bertindak memasukkan air ke dalam badannya. Beliau 'melawan' dan mencabut semua 'wayar-wayar' di badannya kerana enggan 'membuka puasanya'. Ada seorang berkata kepada doktor, Pak Ngah tak akan buka puasanya melainkan 'Tok Guru' yang suruh! Itulah Pak Ngah.

Penampilannya bagaimana pula. Pak Ngah hanya menyarungkan jubah putih dan serban putih di kepalanya. Itulah uniform beliau. Bila dia keluar daripada pondoknya, akan adalah anak-anak kecil yang memegang hujung tongkatnya dan menyeretnya ke mana-mana destinasi yang hendak di tujunya. Anak-anak saya bila pulang ke pondok Toknya di sana, juga begitu.

Antara cerita yang saya suka sembangkan dengan Pak Ngah ialah pengalamannya waktu menunaikan fardhu haji lebih kurang 10 tahun yang lalu. Pada waktu itu 'orang-orang pondok' pergi ke sana melalui visa melancung yang menjadikan mereka berada di tanah suci sehingga lebih 4 bulan. Kalau orang lain bercerita mengenai 'keindahan' Mekah dan Madinah, Pak Ngah akan bercerita mengenai jumlah langkah beliau menuju ke Masjidil Haram dan Kaabah.

Sebenarnya Pak Ngah ke tanah suci bila beliau menjual 'bahagian' harta pusaka miliknya. Hasil jualan tersebut beliau pergi ke tanah suci dengan membawa sekali Mak Mertua saya. Saya cukup tersentuh bila ingatkan ini. Orang seperti Pak Ngah, tidak pun meletakkan 'fokus' dunia di hadapan beliau. Apa yang ada dalam pemikiran beliau ialah, bila ada rezeki lebih, hanyalah untuk menyempurnakan hal-hal ibadahnya. Saya bermuhasabah, kalaulah saya ada duit, sudah tentu saya akan 'mendahulukan' rumah ke, kereta ke, beli itu....beli ini. Tapi tidak begitu bagi Pak Ngah.

Hidupnya tidak meninggalkan apa-apa harta. Jubah, kopiah & serban. Rumah yang dia tinggal selama ini pun hanya pondok wakaf di kawasan Pondok Lanai tersebut. Selepas ini mungkin akan ada orang lain pulak yang akan mengambil giliran untuk mendiami pondok usang tersebut.

Pak Ngah....'selamat jalan menemui kekasih mu'. Saya akan tetap mengingati Pak Ngah dan kami akan merindui bacaan-bacaan ayat suci daripada mulut mu'.

Macam ini punya orang pun ada

Tengahari tadi saya terasa lapar sangat. Sejak keluar daripada wad hampir sebulan yang lalu saya diberi oleh doktor beberapa jenis pil untuk di makan setiap hari. Antaranya sejenis pil yang seperti 'menyekat nafsu makan' saya.

Pada minggu-minggu yang awal saya makannya mengikut cadangan doktor, 2 kali sehari. Tapi kesannya saya begitu lesu dan tidak bermaya. Saya membuat keputusan sendiri dengan hanya memakannya sekali sahaja sehari.

Mungkin itu yang menyebabkan saya mula merasa 'lapar' menjelang tengahari. Selepas mengeluarkan sedikit wang daripada mesin ATM, saya ke sebuah gerai makan di Kg Bharu. Gerai ni adalah gerai 'favourite' saya setiap selepas solat Jumaat bersama Pendi. Perniagaannya maju dan harganya saya kira antara yang termurah.

Waktu saya sampai, saya lihat tempat meletakkan motorsikal penuh! Bukan betul-betul penuh, tapi motorsikal tidak di susun dengan baik. Banyak 'lompang' di sana-sini. Jadi saya pun turun lalu menolak salah satu motorsikal untuk lebih ke depan sikit untuk 'menyelitkan' motorsikal saya di situ.

Hoi! tolak motor engkau tu masuk kedai terus! Saya tercari-cari suara siapakah yang saya kira 'bergurau' dengan saya. AAAaaaa....ada seorang yang saya kira berusia di sekitar awal 50an dan seorang budak (saya kira anaknya) masih berbaju sekolah keluar daripada gerai tersebut menuju ke arah saya dan marah-marah atas tindakan saya 'menyorong' motorsikalnya ke depan sedikit.

Saya jadi 'terkedu' sebab saya sangka dia hanya bergurau. Selepas dia masih tidak henti-henti marah dan menghina saya, barulah saya sedar bahawa saya memang sedang kena marah! Saya segera sedar, dan mohon maaf kepadanya kalau-kalau perbuatan saya itu 'salah'. Dia terus marah-marah, dan kata macam-macam lagi.

Saya fikir, orang macam ini tidak wajar saya 'melayan' nya. Saya hanya senyum dan membetulkan kedudukan motorsikal saya. Oiii! pekak ke!, katanya kepada saya bila dilihat saya buat 'dekkk' je. Saya kata, ....mintak maaf. Dia terus masuk ke gerai semula sambil marah tak henti-henti. Anaknya tersengih-sengih kearah saya....mungkin dia bangga punya ayah yang 'samseng' macam tu. Insiden tersebut saya fikir di perhatikan juga oleh beberapa pelanggan gerai tersebut walaupun keadaan di situ agak riuh.

Sebenarnya itulah saya.....'tak suka cari gaduh', 'suka ambil jalan kemaafan'.
Saya mengambil makanan ala kadar sebab macam saya katakan tadi sebenarnya saya masih 'tak lalu' nak makan kesan daripada ubat yang diberikan oleh doktor walaupun perut terasa lapar.

Selepas makan, saya bersedia untuk beredar dan membuat pembayaran. Semasa saya hendak mengeluarkan motorsikal saya, saya terpandang motorsikal yang saya 'alih' kan tadi. Ada 'sticker' di kepak motorsikalnya 'Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia'. Saya senyum sendiri. Biasalah, orang yang hendak 'mencuba' langkah silatnya.