Monday, March 27, 2006

Saya masuk wad!

SELASA, 14hb Mac 2006M bersamaan 14hb Safar 1427H saya kira merupakan hari yang tercatat dalam sejarah hidup saya bila saya untuk pertama kalinya di ‘tahan’ untuk rawatan.

Ianya bermula apabila pada pagi tersebut saya berasa sangat ‘tidak selesa’ terutama sewaktu saya menguruskan pertukaran PC En Nur Hasbollah seorang kakitangan HR di paras 4. Degupan jantung saya sangat cepat!

Selepas lakukan solat hajat di surau dan berehat seketika saya terus ke Klinik Pembangunan di paras 10. Doktor di situ menasihatkan supaya saya merujuk masalah saya ini kepada pihak pakar.

Selepas menguruskan GL, saya bergegas ke KBMC untuk pemeriksaan pakar. Pemeriksaan menunjukkan bacaan ‘tekanan darah’ saya begitu tinggi….bacaan atas melebihi 200 dan bacaan bawahnya melebihi 100!

‘Bacaan sebegini tidak menyedapkan hati saya untuk melepaskan awak pulang, awak perlu di pantau di wad’, kata tuan doktor. Aduh….pelbagai yang bermain dalam fikiran saya. Saya juga menjalani ujian ECG dan X-Tray. Ada tanda yang jelas bahawa saya mengalami masalah jantung.

Akhirnya terjadilah apa yang saya risaukan……masuk wad. Saya di masukkan ke wad tingkat 3, bilik bernombor 302. Hanya pada petang hari ke-3 bacaan tekanan darah saya menunjukkan penurunan yang boleh di terima oleh doktor dan seterusnya membenarkan saya pulang pada tengahari esoknya (Sabtu – 18hb Mac).

Ziarah
Sepanjang saya berada di wad, ramai rakan dan teman yang datang menziarahi saya sehingga pihak wad meletakkan tanda ‘limited visitors’ di pintu masuk bilik saya. Saya cukup terharu dan tersentuh atas keprihatinan teman, rakan dan saudara mara yang sudi menziarahi saya. Saya juga ingin rakamkan kehadiran mereka yang saya ingat di sini:-

Tn Hj Ruslan Yohman, Zull Yusof, Mohd Shafuan, Effendi Sabaruddin, Mat Rodi Bakar, Harris Tajuddin, Noor Najmee, Wan Hassan Wan Muda, Adnan Yaacob, Borhan Saman, Sulaiman Mahidin, Jack, Mohd Najib Abd Majid, Esrol , Abd Basit, seorang staff IT BP - tak ingat nama tapi kenal muka, seorang staff ex BI - tak ingat nama tapi kenal muka, Noremizan, seorang staff ex Exim - tak ingat nama tapi kenal muka, Rosli, Zorba, Tn Hj Awang Bakar – Perkib, Shafie Osman – Perkib, Halim – Perkib, menantu Hj Nordin – Perkib, Duan As-Saufee, Shamsudin Kuang dan anak, Nordin (datang tapi saya dah keluar), Hj Mat (datang tapi saya dah keluar), Zahir (datang tapi saya dah keluar), Mak Chik (mak tiri) dan suami, Suriya, suami dan anak, Shahrul, Pak Dik, Pak Su, Kak Jijah dan 2 cucu, Wahid, Kak Mai dan 2 anak, Zura dan suami, Dillah dan suami, Kak Long (anak Kak Jijah) datang bersama suami tapi saya dah keluar, Hj AbRahhim (Melaka), Din Songkok (Melaka), Ruslan Ahmad, Pidah anak Tok Sudin.

Saya yakin ramai lagi yang saya ‘lupa’ untuk masukkan nama mereka di sini. Apa pun terimakasih atas keprihatinan dan doa kalian. Kepada isteri dan anak-anak saya, mereka juga cukup memberikan semangat kepada saya.

Wednesday, March 01, 2006

Membalas surat Kak Anis


Kak Anis,
Abah ucapkan terimakasih kerana Kak Anis telah menulis surat untuk kami semua. Abah dan semuanya terutama Umi cukup gembira mendengar khabar berita daripada Kak Anis. Tulisan Kak Anis benar-benar ‘menyentuh’ jiwa Abah dan Umi. Kami sebenarnya cukup bangga dengan Kak Anis. Abah, Umi dan adik-adik tidak pernah lupa untuk berdoa semoga Kak Anis akan terus tekun dan berjaya dalam pelajaran.

Doa dan surah-surah untuk diamalkan yang Kak Anis sisipkan juga, Abah ucapkan terimakasih. Sekali lagi Abah dan sudah tentu Umi cukup berbangga dengan kiriman Kak Anis itu.

Kak Anis,
Abah dan Umi sebenarnya sedikit gusar bila Kak Anis menyebut bahawa kehidupan di asrama cukup ‘boring’. Rasanya Abah faham apa yang cuba Kak Anis maksudkan. Tetapi itulah ‘realiti’ yang harus kita semua jalani. Apa yang perlu Kak Anis lakukan ialah sentiasa membetulkan niat kenapa Kak Anis berada di sana. Sudah tentu niatnya ialah untuk ‘menuntut ilmu’.

Bila Kak Anis memasang niat begitu, pelajaran menjadi lebih seronok kerana kita belajar untuk mengetahui apa-apa yang baru. Yang menjadi kita ‘tertekan’ dan ‘boring’ apabila kita merasakan belajar itu kerana ‘terpaksa’ atau ‘dipaksa’.

Yang lebih menarik lagi ialah ‘kelebihan’ yang diberikan kepada penuntut-penuntut ilmu….selain memperolehi ilmu, mereka juga berada di bawah pengawasan dan kasih sayang Allah swt. Kak Anis ambillah peluang ini dengan tidak meninggalkan doa. Mohonlah apa sahaja daripada Allah, doa untuk Kak Anis, untuk Umi, Abah dan adik-adik. Abah yakin Allah swt akan memperkenankannya.

Abah juga fikir, Kak Anis antara pelajar KL yang bertuah kerana mempunyai Tok, Pak Lang, Mak Ndak dan Mak Su di sana yang cukup mengambil berat. Sebab itu bila berkesempatan pulang ke rumah Tok atau mereka berkunjung menjengah Kak Anis, tunjukkanlah ‘penghargaan’ Kak Anis kepada mereka.

Kak Anis,
Sekarang ini, Kak Iman ….abah lihat telah banyak perubahan yang dilakukannya. Dia lebih rajin belajar, setiap malam kedengaran dia mengaji Quran dibiliknya. Dan lagi dia nampak lebih bertanggungjawab terhadap adik-adik.

Pada 11hb dan 12hb Mac ini, dia akan menyertai Klinik UPSR di Kuala Kubu Bharu. Seminar yang pernah Kak Anis hadiri dulu.

Amir pulak, sekarang ni sibuk betul dengan ‘bola’ dia. Minggu lepas katanya pasukan dia – Kesumba 3A, nak melawan Widuri. Tapi bila sampai waktu yang dijanjikan pasukan Widuri pulak tak muncul-muncul…..frust betul dia. Tapi yang hebat Amir ni pada Abahlah…..pertamanya solat cukup dia jaga, keduanya barang-barang keperluan dia dan pakaiannya di ‘organize’ dengan cukup baik. Sebab tu bila kita masuk bilik dia, kemas dan teratur elok.

Cuma masalah Amir ni ialah tak habis-habis dengan menyambung cakap India! Hari-hari Umi mengamuk pasal tak puas hati dengan sambungan ‘cakap India’nya tu. Abah pun kadang-kadang ‘hangin satu badan’. Tu belum lagi campur dengan perangai suka membuli Amar dan menyakat Amri. Sebenarnya Amir ni Abah ngan Umi pun di sakatnya.

Amar pulak, dari dulu macam tu lah. Dia dengan dunia fantasinya. Tapi dalam ujian bulan Februari baru ni, dia dapat markah yang bagus. Kena buli ngan Amir tu biasalah, tapi nak buat camana….dia pun suka ‘melayan’ Amir tu. Tapi awas! Kalau Amar mengamuk semua ‘terbang’…..tu yang namanya Buli Balik!

Amri sekarang ni dah ‘macam-macam ada’. Semua yang orang cakap dah dirakamnya. Tapi ada satu perangai dia yang kena ‘repair’ sikit….suka mengarah. Daripada ‘bagak macam ambing’, sekarang ni ‘Abah, boringlah….jom gi alan-alan’.

Umi pulak, memang dari dulu seorang yang cekal dan kuat semangat. Bayangkan Dr Homeopathy pun dapat ‘kesan’ betapa kuatnya ‘semangat’ Umi.

Baru ni Umi jalani ujian memandu JPJ lagi (kali ke-3). Kali ni Abah ambil kedudukan lebih dekat lagi daripada tempat ujian . Naik bukit kali pertama……brrooommm …menggelongsonr ke belakang….sudahhhhh. Pegawai JPJ tu suruh cuba sekali lagi, alhamdulillah berjaya lepas bukit. Apalagi tergelak besar lah Umi punya bangganya.

Tapi abah relek je, sebab ada satu lagi halangan di depan, ujian parking. Bila sampai tempat ujian parking, 4 tiang Umi redah…..JPJ pun suruh keluar kereta dan kira gagal!

InsyaAllah pada 08/03/2006 ni Umi ujian kali ke-4. Tolonglah Kak Anis doa sama supaya Umi berjaya.

Kak Anis,
Sebenarnya kami dah tak sabar-sabar nak tunggu kepulangan Kak Anis cuti penggal ni. Abah pun dah ambil cuti pada Jumaat tu nanti.

Akhirnya salam sayang daripada kami semua di sini.




Abah, Umi dan adik-adik.
01/03/2006

Email:
safuan@bpmb.com.my
Website: www.geocities.com/safuanes